SATU RINGGIT, SATU KILOMETER

Day 4,860, 01:31 Published in Malaysia Malaysia by Amli Nujhan

Sudah agak lama aku tidak menulis dalam akhbar tabloid ini.
Aku rasa hendak mulakan satu siri penulisan cerpen berunsur misteri pula.
Saja nak ngomong kosong mengisi waktu lapang.

Sekitar 20 tahun lampau, aku sekeluarga dalam perjalanan pulang dari menghadiri majlis perkahwinan adik aku di Kuala Lumpur.
Kereta kedua aku ketika itu ialah Ford Telstar 1.8 yang agak selesa lah untuk long distance driving itu.
Turut ada dalam kereta itu ialah isteri dengan anak sulung aku... masih baby lagi. Di kerusi belakang ialah mak mentua aku, adik ipar dan seorang sepupu isteri aku.
Selain dari aku, semua itu perempuan.

Seronok sangat lah mereka aku bawa bercuti ke kota. Bising duk bercerita seronok duduk di apartment mewah. Siang tadi terserempak dengan artis drama pujaan di dalam lif. Maklumlah orang kampung tidak biasa ke bandar.
Aku layan driving saja. Dalam fikiran masih berbelah bagi samada selepas habis lebuhraya Karak ini hendak teruskan melalui Kuantan atau aku detour melalui Bentong - Gua Musang.

Ketika itu Lebuhraya Pantai Timur belum siap sepenuhnya lagi ke Terengganu. Hentian rehat pun belum banyak ada. Jika ada nak berhenti ke tandas tukar lampin anak misalnya tentu agak sukar.
Aku fikir lebih baik aku ambil jalan Bentong saja, jika letih boleh berhenti di masjid atau restoran tepi jalan di mana-mana.
Lagi pun hari sudah hampir menjelang malam... susah jika berlaku kesulitan di tengah highway yang sunyi.

Aku berhenti sekejap di tol Bentong masih berfikir untuk buat keputusan, sambil singgah membeli bekalan minuman.
Bentong atau Kuantan... Bentong atau Kuantan...???
Dalam aku sedang berkira-kira itu, aku terpandang ada seorang gila sedang duduk tercongok di tepi jalan.
Aku seluk kocek, ada seringgit... Aku beri pada orang gila tu.
Mana lah tahu... atas sebab aku tolong seringgit ni, nanti Allah tolong pula aku di perjalanan nanti.

Ok... aku buat keputusan detour ikut Bentong saja lah.
Sebaik aku membelok ambil Simpang Bentong, baru aku perasan minyak kereta lupa hendak isi tadi... satu tangga lagi nak turun level E.
Nasib baik aku terpandang meter tu... Tak apa lah, nanti ada lah tu stesen minyak kat mana-mana.

Sudah malam ni... mana stesen minyak ni?... Tak ada satu pun di jalan itu.
Sampai ke pekan Bentong dalam pukul 10 lebih. Perasaan lega, sebab tentunya ada stesen di Bentong.
ALAMAK !... Stesen minyak Bentong dah tutup selepas pukul 10. Bandar pun dah sunyi.
Apa nak buat ni?

Tiada pilihan melainkan teruskan perjalanan dengan harapan ada stesen minyak 24 jam di depan.
Mentua dan ipar duai aku yang tadinya kecoh, sekarang senyap sepi ketakutan... Suspense.
Menuju Raub pula... Minyak dah di garisan E ketika ini.

Malangnya setbanya di Raub pun bandar itu sudah sepi di tengah malam. Lajak pula ke Kuala Lipis. Sama juga, tiada satu premis pun yang masih buka.
Perlukah aku teruskan perjalanan dengan harapan akan bertemu stesen minyak?
Fasa seterusnya ialah JALAN SUNGAI KOYAN !!!

Ini jalan panjang yang terkenal menyeramkan. Serta-merta teringat berbagai kisah kawan-kawan yang pernah disakat hantu di jalan itu.
Thrill sebenar baru bermula...

Sepatutnya aku sudah give up pada tahap itu dan berhenti saja di Raub menunggu siang.
Tetapi aku ni memang dari dulu bersifat thrill seeker... degil.
Jalan terus...

Jalan itu memang gelap seratus kilometer tiada satu cahaya lampu rumah pun ada tepi jalan.
Kiri kanan hanya hutan, ladang getah dan kelapa sawit. Hanya berpandu sejalur langit cerah di atas; kiri kanan hanya dinding hitam hutan belantara.
Kenderaan lain pun kurang pada malam itu... Memang menyeramkan.
Ada terjumpa sebuah kereta lain mengalami kerosakan. Tapi tidak mengapa lah mereka itu anak muda perkasa 3-4 orang.
Jika terjadi begitu pada aku... kes naya.

Perjalanan hidup ini penuh liku-liku.
Selekoh maut itu menyeronokkan bagi seorang pemandu.


Sekitar 100km selepas Kuala Lipis itu, tiba-tiba aku nampak ada satu cahaya di depan.
Sebuah kedai kopi kecil, satu-satunya yang ada di sepanjang jalan gelap itu.
Aku berhenti rehat minum kopi. Family aku tidak turun.

Selesai berehat minum kopi sambil merokok seketika, aku membayar harga minuman kepada pakcik tuan kedai yang berseorangan ketika itu. Hanya aku dengan dia saja dalam kedai itu.

Aku bertanya, "Di mana ada dekat-dekat sini yang ada jual minyak?"
Mana lah tahu jika di kedainya itu pun ada jual minyak eceran dalam botol.

"Oh, di depan sikit lagi dalam 1km, ada stesen minyak... jalan terus, nanti ada simpang ke kiri. Masuk simpang tu nanti jumpa stesen minyak."
Wah, serta merta perasan risau aku hilang. Mujur... mujur...

"Ada stesen buka tengah malam begini ke pakcik?" Tanya aku minta pengesahan.

"Buka... stesen tu 24jam. Nanti ambil simpang kiri yang mula-mula jumpa... masuk ke dalam."

"Terima kasih pakcik. Terima kasih."

Aku pun kembali ke kereta dengan penuh harapan baru.
Bawa kereta perlahan-lahan sambil perhati di manakah simpang yang dimaksudkan itu. Bimbang juga takut terlepas... Ini peluang terakhir sebelum kereta mati kehabisan minyak.
Eh,... itu dia satu simpang ke kiri.
Tetapi ini hanya lorong kecil yang masuk ke dalam kebun kelapa sawit. Betul kah ini? Atau mungkin pakcik tu tersilap, sepatutnya ada simpang lain lagi di depan sana.
Was-was aku.
Jalan itu memang jalan tar tetapi sempit muat untuk sebuah kenderaan lalu saja. Tiada sebarang papan tanda pula tu.
Aku tawakkal saja lah... masuk lorong itu.
Lorong kecil berliku-liku... gelap sehabis gelap.

Ini gila.... "Gila!" Teriak hati ku...
Jika ditakdirkan minyak kereta aku habis di tengah lorong hutan itu... Tak dapat bayangkan apa mungkin terjadi.

Tapi aku tabahkan juga.
Selepas beberapa selekoh, eh... itu dia. Tersergam sebuah stesen minyak Petronas... cerah terang-benderang di depan sana.
Stesennya besar... Ada 6 pam minyak. Ada mini market lagi kat dalam.
Ada atendan bertugas tolong isi minyak penuh, tolong lap cermin kereta lagi... aku pun masuk kedai membeli bekal air minuman, makanan ringan. Awek cashier pun comel.
Waima pada standard hari ini pun, stesen itu sangat besar, moden dan lengkap yang hanya ada di kota raya.

Syukur lah. Sungguh lega aku pada malam itu.
Seterusnya aku melanjutkan perjalanan. Selamat tiba di rumah waktu Subuh.
Walau pun difikirkan kembali berulang kali pun aku masih tidak jumpa logika.
Sebuah stesen minyak tersergam besar di tengah hutan, dan tiada premis lain selain darinya di situ.
Beberapa kali aku pernah lalu jalan itu kemudiannya, namun aku tidak dapat mengesan di mana lorong yang aku pernah masuk itu.
Jika ditanyakan pada orang lain pun, semua orang tidak pernah tahu adanya stesen minyak sedemikian itu.

Biarkan hidup anda diselubungi MISTERI...


***Jika berjaya dapat 25 komen, aku cerita lagi.

Nukilan,