ERTI MERDEKA - MALAYSIA PRIHATIN

Day 5,019, 13:05 Published in Malaysia Malaysia by OPMM Wingman

ALHAMDULILLAH pada 31 Ogos 2021, rakyat Malaysia akan meraikan Hari Kebangsaan kali ke-64. Tema tahun ini sangat menarik iaitu ‘Malaysia Prihatin’. Semoga tema itu benar-benar dihayati dan diaplikasi oleh seluruh rakyat Malaysia.

Semua bangsa mahukan kemerdekaan. Mereka mahukan satu kebebasan untuk menjalani kehidupan seharian mereka. Mereka mahukan kebebasan dalam membentuk acuan undang-undang, ekonomi, pendidikan dan segalanya mengikut adat dan budaya mereka.

Istilah kemerdekaan digunakan untuk membezakan dengan penaklukan yang merujuk kepada sesuatu kawasan sebagai "wilayah" yang dikawal oleh sebuah kerajaan luaran dari segi politik dan tentera. Perkataan ini kekadang juga digunakan dalam erti kata yang lebih lemah untuk membezakan dengan hegemoni yang merupakan kawalan sebuah negara secara tak langsung oleh sebuah negara yang lebih kuat.

Kemerdekaan boleh merupakan taraf permulaan bagi sebuah negara muncul (sering kali untuk mengisi kekosongan politik), tetapi sering merupakan pembebasan daripada kuasa yang mendominasi kawasan itu. Dari segi negatif, kemerdekaan juga boleh ditakrifkan sebagai keadaan yang tidak dikuasai oleh kuasa yang lain melalui penjajahan, dasar peluasan kuasa atau imperialisme.

Generasi muda pasti menganggap merdeka itu adalah bebas daripada cengkaman penjajahan dan menghayatinya dengan sekadar melaungkan Merdeka! Merdeka! Merdeka!. Erti kemerdekaan sebenar pada generasi kini adalah membabitkan kemerdekaan jiwa dan minda dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk melalui empat aspek utama, iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa kerana generasi muda berhadapan ancaman penjajahan dari segi bentuk baharu, terutama pemikiran dan budaya seiring dengan kepesatan teknologi masa kini.

Kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah mengambil peluang menghayati makna sebenar kemerdekaan kerana sebuah kemerdekaan itu bukan hanya sekadar retorik pengkisahan sejarah semata-mata. Oleh itu, sempena sambutan hari kemerdekaan Malaysia ke-64 bagi tahun 2021 ini, kita seharusnya mengambil peluang dan ruang bersama-sama bagi menghayati erti sebenar kemerdekaan kerana ia akan menaikkan lagi semangat patriotisme cintakan tanah air dalam diri masing-masing.


SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN